|
Tajuk: Syukurilah Nikmat Kurniaan Allah SWT Allah SWT berfirman yang bermaksud, Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Nahl, ayat 18)
Huraian: Sedar atau tidak, hidup manusia di alam fana ini tidak akan terlepas daripada menerima nikmat dan rahmat Allah. Nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia tidak terhitung banyaknya. Jumlahnya tidak dapat disukat dan ditimbang oleh sesiapapun. Lazimnya, seseorang manusia itu hanya akan menyedari betapa berharganya nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya apabila nikmat itu hilang atau terlepas daripadanya (diambil kembali oleh Allah). Misalnya, mata menjadi rabun, telinga menjadi pekak, kaki patah dan tangan putus. Apabila perkara ini berlaku ke atas dirinya, maka ketika itu barulah amat terasa kehilangan nikmat dan kekurangan diri. Sesungguhnya nikmat kesihatan amat dirasai apabila seseorang itu sakit. Seseorang yang berkuasa atau berpangkat akan berasa nikmat memegang kuasa dan pangkat; dan akan merasa sebaliknya jika dipecat daripada kekuasaan serta jawatan yang disandangnya. Seorang hartawan apabila jatuh miskin dan melarat, maka akan terasalah betapa besarnya nikmat kekayaan yang pernah dikecapinya dulu. Oleh itu peliharalah setiap nikmat yang diperolehi itu. Bersyukur dan berterima kasihlah kepada Allah Yang Maha Kuasa supaya nikmat itu akan terus dikekalkan-Nya. Syukur dapat diertikan sebagai mengerti bahawa semua nikmat yang ada pada diri seseorang hamba, baik yang lahir mahupun yang batin, semuanya adalah daripada kurniaan Allah. Tanda seseorang itu bersyukur ialah akan menggunakan segala nikmat kurniaan Allah untuk melakukan amal ibadat dan mendekatkan diri kepada-Nya. Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan berterima kasih kepada-Nya. Mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan akan membesarkan nikmat sekalipun nikmat itu kecil saja.
Sumbangan daripada : Panitia Tasawwur Islam |
|